BLACK SABBATH
Album : 13
Label : Vertigo / Universal Music
Tahun : 2013
Rating: 4
Ada sebab kenapa saya kurang sikit nak mendengar album-album solo Ozzy Osbourne sejak akhir-akhir ini. Bukan sebab ianya tak bagus, tapi sebab album-album tu tak ada Tony Iommi, Bill Ward dan Geezer Butler. Cuba anda bayangkan album ini sebagai album solo Ozzy tetapi bila anda dengar saja riff gitar untuk trek pertama "End of the Beginning", anda tahu ianya Black Sabbath. Sesungguhnya penantian itu suatu penyeksaan. Dalam komuniti muzik metal sendiri, ramai yang mempersoalkan akan rasionalnya gabungan semula line-up asal Black Sabbath ini (malangnya, tanpa Bill Ward) menghasilkan album kerana dalam fikiran mereka band metal dengan nama besar seperti Metallica, Megadeth atau Judas Priest (mereka lupa tentang Iron Maiden agaknya...) bila menghasilkan album baru, ianya tidak sekuat album-album ketika mereka berada di kemuncak kreativiti lalu konsert mereka banyak bergantung harap pada lagu-lagu lama yang memang sudah maklum kekal dalam ingatan pendengar. Black Sabbath kesnya berbeza. Mereka seperti bom jangka yang menunggu masa untuk memberikan sebuah album yang terbaik sejak 1978 (kita anggap Black Sabbath era Dio sebagai versi yang berbeza). Tony Iommi banyak melalui formasi yang pelbagai dengan masih menggunakan nama Black Sabbath tetapi memang ada terasa yang dia menghasilkan lagu-lagu yang hanya sesuai dinyanyikan oleh Ozzy lalu bahan ini disimpan dan akhirnya anda dapat dengar melalui 13. Kita memang kenal nama Rick Rubin sebagai penerbit album tetapi di dalam album ini fungsi Rick saya lihat lebih kepada membentuk suasana yang selesa bagi band dalam merakam album dan tidak menetapkan halatuju muzikal bagi Black Sabbath (kecuali kenyataannya betapa album pertama Black Sabbath punya pengaruh blues dan jazz kerana hakikatnya metal ketika itu masih dalam pembikinan lalu dia mahu membawa semula semangat ini dalam permainan Black Sabbath) lalu Black Sabbath cuba membawa semangat sebagaimana empat album yang terawal. 13 takkan jadi seklasik empat album pertama Sabbath tetapi dengan trek seperti "End of the Beginning" dan "God Is Dead?", sekurang-kurangnya Sabbath yang anda kenali dengan bunyi doom bass Geezer dan keberatan riff gitar Iommi telah kembali semula. Dengan kata lain, tiada yang dapat memainkan metal setepat mereka biarpun genre ini telah berevolusi dengan kepelbagaian subgenre yang timbul hari ini. Cuma pilihan pemain dram yang menggantikan Bill Ward iaitu Brad Wilk (Audioslave, Rage Against The Machine) pada saya masih bukan yang terbaik dan amat berharap kalau Black Sabbath dapat meninjau wilayah metal New Orleans yang masih memainkan muzik metal bagaikan ianya di tahun seperti 1970'an dan menemuinya pada pemain dram Eyehategod, Joey LaCaze, sebagai contoh supaya saya dapat menghayati trek-trek seperti "Age of Reason", "Live Forever" dan "Damaged Soul" yang sememangnya seperti klasik Black Sabbath. Ramai yang tahu nama Black Sabbath itu sebagai pioneer heavy metal tetapi tidak begitu tau kenapa mereka dianggap sebagai pengaruh besar muzik metal itu sendiri dan album ini boleh jadi ulangkaji semula bagi anda.
[Ulasan oleh NAZRI AHMADEUS]
No comments:
Post a Comment