our sponsor

Followers

Friday, February 19, 2016

[TONTON] 'Tulus Ikhlas’, filem adaptasi iklan Hari Lebaran Bernas yang pertama di Malaysia di saluran ASTRO FIRST

Papar kesinambungan kisah 2 sahabat karib dari kalangan insan istimewa

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2016 - 'Tatkala penghuni rumah anak yatim yang lain pulang ke pangkuan keluarga untuk meraikan Hari Lebaran bersama, 2 anak kecil yang mana seorang cacat penglihatan, yang seorang lagi cacat pendengaran masih tergapai-gapai pada malam raya mencari jalan pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ibu kepada anak yang cacat pendengarannya itu. Erat berpegangan tangan, 2 sahabat baik ini berhadapan dengan pelbagai halangan dan akhirnya tiba jua ke destinasi yang hendak dituju hasil belas kasihan seorang pemandu lori yang sudi menumpangkan mereka. Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing, apabila dapat meraikan lebaran bersama dengan melawat ibu kepada anak yang cacat pendengarannya,..... di tempat persemadiannya.'

Begitulah ringkasan iklan Hari Lebaran yang disiarkan pada tahun 2012 dan diterbitkan sebuah syarikat padi beras terkemuka tanah air yang pernah menjadi viral pada suatu ketika dahulu dengan jalan ceritanya yang begitu meruntun perasaan masyarakat tempatan. Kini, sudah empat tahun berlalu namun kisah dua sahabat ini masih utuh terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia. Justeru itu, Independent Pictures Sdn Bhd membawakan sebuah filem baharu berjudul 'Tulus lkhlas’ yang diinspirasikan daripada iklan Hari Lebaran tersebut ke kaca televisyen penonton menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 20 Februari 2016 ini.

Filem yang berdurasi selama 90 minit ini mendapat sentuhan sutradara Hafiz Ibrahim dengan olahan skrip oleh Al Jafree Md Yusop. Selain dibintangi oleh 3 bintang filem berpengalaman, Marissa Yasmin (Marlia), Rahhim Omar (Bunyamin) dan Azri Iskandar (Ted), filem ini turut dibintangi oleh 2 muka baru yang juga merupakan watak utama filem ini iaitu Azmi Bahron (Buyong) dan Mohd Safiq Arshad (Adi).

Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro berkata, "Kami sentiasa mencari kelainan di dalam setiap filem yang ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif. Apabila dimaklumkan bahawa filem Tulus Ikhlas ini diinspirasikan daripada sebuah iklan Hari Lebaran yang pernah menjadi viral beberapa tahun lalu, saya yakin filem ini bakal memberi impak yang sangat hebat, sama seperti iklan asal yang dihasilkan sebelum ini."

"Mengimbau kembali keistimewaan iklan tersebut yang pertama kalinya disiarkan pada tahun 2012, ia berjaya meruntun hati setiap mereka yang menontonnya. Saya yakin, dengan sentuhan saudara Hafiz Ibrahim, pengarah yang sama melahirkan iklan Hari Raya tersebut, Tulus Ikhlas mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para peminat filem yang ada di luar sana. Cetusan idea yang dihasilkan oleh pengarah muda ini mempunyai jiwanya tersendiri dan lain daripada yang lain sehingga berjaya meraih beberapa anugerah di dalam mahupun luar negara. Karya-karya berkualiti seumpama inilah yang kami ingin sajikan khas untuk pelanggan Astro First Eksklusif”.

Tulus Ikhlas membawa penonton menerjah kehidupan 2 insan kurang upaya bernama Adi dan Buyong. Adi yang merupakan seorang cacat penglihatan dan Buyong seorang yang cacat pendengaran meneruskan kelangsungan hidup sebagai tukang urut kaki di Jalan Alor, Kuala Lumpur. Kedua-dua sahabat karib ini bertemu di sebuah rumah anak yatim di mana mereka menumpang berteduh sehingga menginjak usia remaja. Bertahun hidup bersama, hubungan mereka seperti adik-beradik, saling melengkapi umpama isi dengan kuku. Meskipun hidup dalam serba kekurangan, Adi dan Buyong tetap bahagia dan menerima takdir hidup mereka dengan hati terbuka.

Sehinggalah pada satu hari, takdir menemukan mereka dengan seorang lelaki di lewat usia yang masih tegap dan segak bernama Bunyamin. Tanpa disangka, lelaki yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota itu merupakan bapa kandung Buyong yang telah membuangnya dari saat beliau dilahirkan. Kini, bapa Buyong muncul kembali dengan hanya satu tujuan; mendapatkan tanah pusaka yang telah turut diwariskan di bawah nama Buyong sebagai pemilik bersama. Oleh kerana ketamakan yang wujud dalam diri bapa Buyong, tanah peninggalan itu perlu dipajak pada kadar segera bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan syarikat beliau. Tidak memahami tujuan dan permainan bapanya, Buyong berasa sangat keliru terutamanya apabila setiap pertemuan yang dirancang bersama bapa kandungnya perlu dilakukan secara sulit dan jauh dari masyarakat sekeliling.

Lakonan mantap yang dipersembahkan, suntikan konflik yang pelbagai serta jalan cerita yang segar dan lain daripada kebanyakan karya yang ada di luar sana jelas menjadi tonggak utama kekuatan filem ini.

Jelas Khairul Anwar lagi, "Tulus Ikhlas memaparkan sebuah kisah sisi kehidupan yang jarang diungkapkan kepada masyarakat. Penonton akan dibawa menyelami isi hati golongan kurang upaya dan melihat sendiri cabaran serta keperitan yang mereka lalui dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang mana selama ini sering kita pandang enteng sahaja. Tambah menarik lagi apabila kita dapat menyaksikan kehidupan dunia korporat bertembung dengan kehidupan dunia jalanan."

"Naskah ini boleh saya ibaratkan sebagai sebuah pertaruhan berani daripada Astro First Eksklusif apabila meletakkan sepenuh kepercayaan kepada muka-muka baru dalam industri filem tempatan untuk menggalas peranan utama. Pujian harus diberikan kepada setiap pelakon kerana berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan cukup berkesan sekali. Tidak keterlaluan jika saya katakan, faktor mereka yang kurang dikenali sebenarnya amat membantu dalam menghidupkan lagi jalan cerita filem ini kerana penonton sealah-olah menonton sebuah kehidupan sebenar dan bukannya sekadar sebuah Iakonan,” ujar Khairul Anwar lagi.

Jalan cerita filem yang menjalani penggambaran selama 12 hari ini diolah supaya mudah difahami dan dekat di hati penonton serta bersesuaian untuk tontonan segenap lapisan masyarakat. Setiap babak diselitkan dengan nilai-nilai murni yang universal seperti nilai persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang dan pengorbanan.

Tambah Khairul Anwar Iagi, “Filem ini merupakan antara karya air mata terbaik yang pernah dipaparkan di Astro First Eksklusif. Ia mengisi kekosongan jiwa dengan nilai-nilai murni yang semakin dipinggirkan dalam kehidupan seharian masyarakat pada hari ini. Jika penonton mahu lari dari lambakan genre filem masa kini yang tidak jauh bezanya, Tulus Ikhlas adalah jawapannya; sebuah kisah masyarakat yang mampu mendidik jiwa”.

Filem Tulus Ikhlas akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 20 Februari 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Tonton treler: http://youtu.be/Ou1Qcd_fOJY

No comments:

Related Posts with Thumbnails