our sponsor

Followers

Saturday, February 7, 2015

Fara Fauzana pengacara baru Muzik Muzik 30

Khamis lalu kami berada di Studio C, Sri Pentas sempena rakaman pertama Muzik Muzik 30 (MM30) selain pengumuman pengacara baru MM30 yang digalas oleh Fara Fauzana menggantikan pengacara terdahulu, Scha Alyahya yang sempat mengacarakan Muzik Muzik selama 2 musim.

Penyampai radio, Fara Fauzana dipilih sebagai hos baru MM30 bergandingan dengan AG Hot FM. Pengumuman itu dilakukan Khamis lalu ketika berlangsungnya rakaman episod pertama yang diadakan di studio C, Sri Pentas. Pengumuman itu menamatkan teka-teki selama ini akan pengacara baru MM30.

AG dan Fara juga bukan asing bersama kerana turut mengendalikan segmen AM Krew Hot FM dari pagi Isnin hingga Jumaat. Fara sebelum ini pernah mengacarakan program Melodi dan Nona yang turut disiarkan di TV3.

Dalam edisi terbaharunya, MuzikMuzik 30 akan memperkenalkan pengacara TV dan penyampai radio popular, Fara Fauzana sebagai gandingan baharu AG untuk meneruskan legasi Muzik Muzik. Fara Fauzana bukan sahaja berpengetahuan luas dalam bidang muzik tetapi beliau juga seorang pengacara TV yang mempunyai kredibiliti dan versatil. Fara Fauzana pernah memenangi Anugerah Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2005 – 2012 dan juga Anugerah Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2006 – 2014.

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 berkata, “Alhamdullilah, Muzik Muzik masih relevan dengan kehendak penonton selepas tiga dekad bersiaran. Keserasian gandingan AG dan Fara Fauzana juga sudah terbukti dalam pengendalian segmen popular, Hot FM AM Krew. Jadi, kami yakin gandingan mantap dua nama besar ini dapat memantapkan lagi persembahan kandungan Muzik Muzik 30 yang lebih tumpu kepada kekuatan editorial.

”Setiap tahun, Muzik Muzik memperkenalkan segmen baharu supaya tampil dengan pengisian program yang lebih mantap dan terus menjadi rujukan kepada peminat muzik tanah air. Selain carta lagu dan pencalonan lagu-lagu baharu pada setiap minggu yang bakal menentukan 30 lagu yang bertanding di separuh akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu 30 serta berkongsi perkembangan terkini industri muzik di dalam dan luar negara, Muzik Muzik 30 yang membawakan konsep ‘infotainment’ turut memperkenalkan beberapa segmen baharu, antaranya, “Launching At Muzik Muzik”, “Projek Muzik Hot FM” dan “Story Of The Month”.

Launching At Muzik Muzik” bakal menyaksikan produksi Muzik Muzik menjalani sesi rakaman atau bersiaran secara langsung di lokasi pelancaran album ataupun acara muzik yang dikendalikan oleh syarikat rakaman atau artis.

Ekoran daripada kejayaan Projek EP Hot FM, tercetus idea untuk TV3 bekerjasama dengan stesen radioHot FM bagi melancarkan Projek Muzik Hot FM menerusi program Muzik Muzik 30. Projek Muzik Hot FM mengetengahkan karya lagu asli dan aliran muzik yang baharu. Penyertaan Projek Muzik Hot FM perlu dihantar dalam bentuk klip video sama ada rakaman kamera ataupun telefon pintar. Lagu-lagu yang diterima atas Projek Muzik Hot FM juga akan dipaparkan dalam Muzik Muzik 30 dan menjadi bahan kandungan yang berlanjutan sehingga ke peringkat separuh akhir dan juga AJL30.

Story Of The Month”, projek bulanan Muzik Muzik 30 ini memaparkan perbincangan secara santai bersama panel yangterdiri daripada penggiat muzik tanah air termasuk penyanyi, penulis lirik dan juga komposer. Mereka akan mengupas isu-isu dan menjawab persoalan yang berkaitan dengan industri muzik Malaysia.

Muzik Muzik 30 juga akan membuat liputan tentang penggiat muzik tempatan di arena antarabangsa. Ikuti juga paparan perkembangan terkini artis-artis kegemaran anda di laman sosial. Selain itu, pasangan hos juga akan berinteraksi secara santai dengan tetamu studio menerusi aktiviti permainan yang mudah dan lucu. Tidak ketinggalan juga paparan buletin artis-artis luar negara dengan kerjasama Majalah Hot.

Saksikan Muzik Muzik 30 yang menampilkan gandingan hos AG dan Fara Fauzana pada setiap hari Sabtu, pukul 6.00 petang mulai 7 Februari 2015. Muzik Muzik 30 terbitan Primeworks Studios diketuai oleh Puan Nurhul Huda Haji Khalid selaku penerbit eksekutif, Mohd Jamira Ramli dan Mohd Zamzuri Mohd Zaini sebagai penerbit program. Hangatkan lagi perbualan di laman sosial tentang program Muzik Muzik 30 dengan hashtag #MM30.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter @TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan ‘Muzik Muzik 30’ boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails