Petang semalam di Restoran Terrace, Royale Bintang, The Curve telah berlangsung majlis pelancaran album baru dari Nowseeheart yang bertajuk 'Katakan', terbitan Inteam Records, edaran Sony Music.
Sekian lama menyepi tanpa album baru kumpulan nasyid yang dianggotai seramai empat orang ahli ini kembali dengan album baru yang merupakam album mereka yang keenam di mana ia telahpun berada di pasaran sejak penghujung Disember 2014 lalu. Album ini memuatkan 9 buah lagu; Katakan, Sudahlah, Selawat Untukmu, Aku Sayang Kamu, Saksi, Damai Di Sana, Damai Yang Hilang 2014, dan Fatwa Hati.
Lagu Fatwa Hati turut menampilkan artis popular tanah air iaitu Jay Jay. Jay Jay dipilih untuk berkolaborasi di dalam lagu ini setelah menilai kesesuaian vokal beliau bersama Nowseeheart.
Majoriti lagu dan lirik di dalam album ini dicipta dan dihasilkan oleh anggota Nowseeheart sendiri, Azahari Abdul Rahman yang turut menggalas tugas sebagai penerbit album. Beliau turut mendedikasikan sebuah lagu berjudul ‘Damai Di Sana’ buat Allahyarham Ahmad Firdaus bin Baharuddin atau panggilan mesranya Bob Nowseeheart yang merupakan bekas ahli kumpulan tersebut. Anugerah Nasyid IKIM.FM 2014 baru-baruini juga turut menobatkan Nowseeheart sebagai penerima Anugerah Artis Nasyid Berkumpulan Paling Popular.
Rekaletak kulit album yang ringkas dan minimalis dengan ilustrasi tona cahaya coklat benar-benar menggambarkan kematangan dan kualiti kulit album yang keenam ini. Album terbitan Inteam Records Sdn Bhd dan diedarkan bersama Sony Music Malaysia ini dijual dengan harga mampu milik iaitu RM 19.90 kini boleh didapati di seluruh rangkaian kedai buku seperti di Popular dan MPH serta rangkaian kedai muzik dan buku Islam yang lain.
Lebih mudah pembelian secara atas talian di www.inteammobile.com juga boleh dimuat turun melalui aplikasi iTunes, Spotify dan Amazon. Nowseeheart mengharapkan album Katakan menjadi inspirasi buat semua agar menjadi insan yang lebih baik dan cemerlang pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment