Mr OS Ramai Peminat.
Semakin ramai artis sama ada penyanyi dan pelakon yang berlalu 'pergi'. Saya jarang terfikir perihal mereka, cukup sekadar ambil tahu beritanya.
Mr OS ini lain sedikit. Orang yang lahir awal 80an, biasa terhidang dengan filem lakonan Mr OS. Waktu petang selepas balik sekolah atau hari minggu, ada sahaja filem. Lazimnya lakonan bersama Hamid Ghurkha dan Salih Yaakob.
Sebagai kanak-kanak waktu itu, filem Otak Orang Kampung cukup terkesan walaupun tidak ada elemen CGI dan efek khas yang hebat. Cukup sekadar kisah kambing yang bercakap dan cerita Mr OS mengubat orang bisu dan sebagainya. Cerita langsung tidak logik. Bagi saya yang kecil ketika itu, ia sangat hebat.
Filem Jejaka Perasan itu cerita cinta muda-mudi. Kita budak ketika itu hanya tengok lawak Mr OS sahaja.
Antara lakonan yang terkesan di hati. Filem Adik lakonan Mustafa Kamal dan Mr OS. Beliau memegang watak seorang adik yang ada masalah mental. Cerita kegigihan seorang abang menjaga adik yang sedemikian bagi kanak-kanak ia mengesankan di jiwa.Apabila teringatkan Mr OS, lagu yang terngiang-ngiang di kepala.'Oh kome doghoyan udoh lughuh. Lebih baik cepat pegi suloh...' Pekat bebenor Peghok nye.
Generasi sekarang tidak mengenali Mr OS yang dulu. Filem lakonannya kisah masyarakat. Kisah manusia dihimpit kesusahan. Dihimpit kesedihan berpanjangan. Kisah kegembiraan di kampung-kampung dan rumah flat di bandar.
Mr OS bertenanglah di sana. Kami pula akan menyusul.
Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia. Ampunkan segala dosa-dosanya.
Inna Lillahi wa Inna Ilayhi Raji'un.
Oleh Ahmad Saifuddin Yusof
No comments:
Post a Comment