Al Fatihah buat Allahyarham Haji Abdul Jalil Haji Salleh a.k.a Mama Juwie, wartawan veteran dan penulis lirik yang telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orangberiman. AMIN.
Selain menulis untuk majalah URTV, ruangan Pancaindera kelolaannya di akhbar Utusan di akhir tahun 80'an banyak membantu perkembangan muzik rock kapak. Tapi dia tak pernah dapat kredit.
Menurut Hafiz Hamidun melalui tweetnya: Mesej terakhir dari Arwah Mama Juwie, selepas saya pulang umrah dahulu. Al Fatihah. Salam Ke Syurga."
Menurut akhbar Utusan, beliau meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini selepas koma hampir dua minggu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat. Juwie, 62, dimasukkan ke HUKM pertengahan Mac lalu dan menjalani rawatan penyakit berkenaan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kesihatannya semakin terjejas.
Juwie memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984 dan kemudian menjadi Pengarang Majalah Mangga pada 1995 di syarikat yang sama sehinggalah bersara pada 8 Julai 2008. Semasa hayatnya, Juwie begitu berbakat dan kreatif dalam bidang penulisan lirik lagu. Keunggulannya dalam bidang penulisan lirik begitu terserlah sehingga karyanya pernah diangkat sebagai Juara Lagu pada 1988 melalui lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, nyanyian Ramlah Ram. Antara penyanyi terkenal lain yang pernah mendapat sentuhan kreativiti Juwie di dalam lagu adalah Datuk Jamal Abdillah, Alleycats, Norsheila Amin, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.
Selepas bersara daripada dunia akhbar, Juwie banyak melibatkan diri dengan kerja-kerja amal, termasuk terlibat dengan agensi yang membawa jemaah mengerjakan umrah di tanah suci Mekah.
Setahun dua ini, Arwah Mama Juwie adalah orang yang amat berminat untuk mendalami ilmu agama. Arwah pernah minta untuk sertai usrah bersama.
Turut menziarahi jenazah Allahyarham di HUKM ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di sebelah pusara ibunya di Selayang Baru, dijangka pukul 9 pagi ini. Salam takziah buat ahli keluarganya.
No comments:
Post a Comment