our sponsor

Followers

Monday, March 9, 2015

Ikal Mayang KonFest 2015 di Quill City Mall, KL

18 Filem, Pengarah Lelaki dan Wanita, 120 Role Model, 2000 Belia, Apa Cerita Sebenarnya?

IKAL MAYANG, kata nama
1. Rambut yang berombak-ombak.
2. Bermula suatu gerakan bercerita di Malaysia sempena Hari Wanita Sedunia 
3. Menggunakan filem untuk mengalakkan orang di sekeliling bercerita 
4. Tunggu apa lagi? Jumpa anda di Ikal Mayang KonFest 2015 di Quill City Mall, KL (alaa depan Hotel Sheraton Imperial tu)

Bermula daripada satu inisiatif yang menggabungkan rakan-rakan artis dan meletakkan mereka di kerusi pengarah buat pertama kali pada tahun 2013, Ikal Mayang membesar menjadi satu pergerakan penceritaan yang kini merangkumi penglibatan tujuh buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina dan Amerika Syarikat. Setakat ini, 49 cerita telah dipersembahkan melalui Ikal Mayang di bawah 3 tema yang berbeza.

Pada tahun 2015, pihak WOMEN:girls ingin mencuba sesuatu yang baru. Memandangkan tanggungjawab memperkasakan wanita ini milik bersama, tema tahun 2015 ialah “Serupa” dan buat pertama kalinya, Ikal Mayang memperkenalkan 5 pengarah lelaki yang pertama untuk bersama-sama memperjuangkan penceritaan cerita-cerita yang tulus dan asli dari pandangan yang berbeza.

IKAL MAYANG 2015 “SERUPA” yang diterbitkan sekali lagi oleh Garang Pictures dan Big EyEs Entertainment memperkenalkan barisan 18 pengarah-pengarah yang terdiri daripada perempuan dan laki-laki. Antaranya ialah Lisa Surihani, Pete Abdullah, Adibah Noor, Afdlin Shauki, Kavita Sidhu, Vince Chong, Wak Doyok, Davina Goh, Carmen Soo (penyertaan sebagai Tan Wai Ling), Siri Thana (THAILAND), Kang Zetty Anis,  Soosan Hoh, Elza Irdalynna, Tan Chui Mui, Khairy Jamaluddin,  Michael Cooke (AMERIKA),  Rachael Malai Ali (Brunei) dan Lee Yve Vonn.

Menurut Ida Nerina, Pengarah Kreatif Ikal Mayang, “Saya sangat sangat gembira apabila pasukan Ikal Mayang bersetuju untuk membuka penyertaan kali ini kepada kaum lelaki, sebab itulah tujuan dan harapan saya sejak dulu lagi untuk tahun ketiga ini sebab saya rasa pergerakan penceritaan ini patut melibatkan semua orang. Dan sebenarnya, kaum lelaki juga ada banyak cerita yang dramatik dan lucu! Saya percaya bahawa seseorang yang percayakan perjuangan hak wanita tidak akan tergugat dengan perbezaan dan keupayaan mana-mana jantina. Memang bagus untuk kita memperkasakan kaum lelaki supaya mereka akan memperkasakan wanita-wanita di sekeliling mereka. Filem-filem tahun ini semuanya hebat belaka dan salah satu keistimewaan tahun ini ialah kita ada filem pendek yang disunting daripada filem pendek yang lebih panjang dari Amerika Syarikat. Saya rasa ini tidak pernah dibuat orang lagi! Jadi kami sangat teruja!”

Pada 8 Mac pula, pihak WOMEN:girls akan membuat tayangan ekslusif filem-filem Ikal Mayang terdahulu iaitu Ikal Mayang 2013 – Cerita-cerita Wanita; Ikal Mayang Antologi Busan dan Ikal Mayang Terpendam. Mereka yang terlibat di dalam “Sponsor A Youth” berpeluang untuk membeli pas hari Ahad untuk melihat filem-filem ini. Itu merupakan ganjaran kepada hati yang dermawan! Masih ada lagi peluang untuk anda memberikan sumbangan dengan menghubungi pihak WOMEN:girls.

Astro sekali lagi bakal menayangkan beberapa karya terpilih di bawah judul ‘Ikal Mayang – Bisikan Hati Terpendam’, secara eksklusif di Astro First (Saluran 480). Pelanggan Astro First boleh melanggan judul ini pada Mac 2015, dengan harga langganan RM15 . Karya-karya tersebut adalah Forgotten arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba (Malaysia), Kebaya Pengantin arahan Nia Dinata (Indonesia), Mentari arahan Siti Kamaluddin (Brunei), Not Yellow Enough arahan A. D. Chan (Singapura), Shotgun Tuding arahan Shireen Seno (Filipina) dan Steel in Love arahan Niramon Ross (Thailand).

Penolong Naib Presiden Kanan Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, “Daripada 16 filem pendek yang terhasil tahun lepas, kali ini sebanyak enam penceritaan daripada projek Ikal Mayang telah dipilih untuk ditayangkan di Astro First. Kami di Astro ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak WOMEN:girls kerana sekali lagi memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dalam sebuah projek yang amat bermakna.

Setelah tahun lalu siri antologi cerita pendek Ikal Mayang diterima baik oleh penonton, diharapkan kali ini ‘Ikal Mayang – Bisikan Hati Terpendam’ mendapat sambutan yang lebih menggalakkan. Kami sentiasa komited dan berbesar hati menyediakan ruang kepada para penggiat filem tempatan dan serantau mengetengahkan hasil kreatif mereka, dalam usaha kami untuk terus menyokong industri filem, sambil menyediakan kandungan kreatif serta hiburan berkualiti kepada pelanggan.”

Format filem pendek 2 minit yang diperkenalkan pada Ikal Mayang 2014 dikekalkan kerana ia mudah dikongsi dan mencabar setiap pengarah. Memandangkan Ikal Mayang telah mengerbangkan sayap ke rantau Asia Tenggara dengan penampilan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei pada tahun 2014 – kali ini Amerika Syarikat membuat penampilan istimewa dengan sedutan 2 minit yang dipanggil ‘The Way It Was’ daripada filem pendek mereka ‘Across The Tracks’. Tahun ini, seorang lagi penyanyi muda bertaraf antarabangsa, Najwa Mahiaddin telah menyertai alumni Ikal Mayang dengan menulis dan menyanyikan lagu tema Ikal Mayang ‘Serupa’ 2015 yang bertajuk ‘Sama Saja’. Lagu yang diterbit bersama seorang lagi pemuda berbakat, Ali Aiman sudah pun berada di corong radio tempatan sebagai pesanan khidmat masyarakat untuk bercerita dan jemputan ke FesKon Ikal Mayang 2015.

CHUP! ADA LAGI!

Jangan terlebih ghairah! Ini cuma adalah sebahagian daripada program Ikal Mayang KonFes (Konferens + Festival) yang bakal berlangsung daripada 6 – 8 Mac 2015 di Quill City Mall, KL. Kita juga ada pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik. Antaranya seperti:

7 & 8 MAC – 11 PAGI SEHINGGA 2 PETANG
#SAMASAMA BERCERITA –  Suatu aktiviti di mana orang ramai boleh mendengar selebriti-selebriti kesukaan mereka untuk bercerita
– dengan hanya RM10 untuk jangka masa 5 minit (boleh dikembalikan) Tapi dengan syarat, mereka harus bercerita. Senang je! Pencerita-pencerita akan diumumkan di laman sosial kami minggu depan!
Instagram : @womengirls | Twitter : @WOMENgirls_ | Facebook : WomenGirlsInspire

INSTALASI IKAL MAYANG – Suatu pemasangan raksasa 14 warna reben-reben yang bakal menghiasi pusat membeli-belah Quill City Mall yang diperbuat daripada lebih 3 ribu gulung. 100 orang sukarelawan iM4u akan membantu memasang instalasi ini secara beramai-ramai pada 5 Mac nanti! Jom pergi tengok!

SPONSOR A YOUTHTaja Seorang Remaja” – Pembangunan negara tidak harus dilihat daripada segi ketinggian bangunan pencakar langit – tetapi membangunkan masyarakat secara keseluruhan. Melalui program ini, setiap remaja daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditaja dengan hanya RM100 berpeluang untuk menonton filem-filem Ikal Mayang selain berinteraksi secara lebih dekat lagi dengan pengarah-pengarah / mentor-mentor. Keterangan lanjut di ↓ .

7 MAC 2015 (SABTU) – 10 PAGI HINGGA 6 PETANG
ROLE MODEL – Melalui program ini, seramai 120 “Role Model” (Model Peranan) yang terdiri daripada artis-artis, selebriti, tokoh usahawan, dll. akan digandingkan dengan 2,000 belia untuk memberi sokongan dan sumber inspirasi kepada mereka bagi mencapai impian masing-masing. Sesi ini bertujuan untuk membuka peluang belia supaya cerita mereka didengari oleh seseorang yang bukan sahaja di luar persekitaran mereka tetapi juga seorang yang sudah berjaya atau dikenali ramai. Penceritaan merupakan salah satu alat pemerkasaan yang memberi kesan kepada pendirian seseorang. Belia-belia ini juga berpeluang untuk menonton filem-filem Ikal Mayang ‘Serupa’ dan berinteraksi dengan para pengarah di dalam sesi soal jawab selepas setiap sesi.

8 MAC 2015 (AHAD) – TAYANGAN ISTIMEWA – TANAH MAMA
Tanah Mama ialah sebuah filem dokumentari terbitan Yayasan Kalyana Shira (Indonesia) mengenai seorang wanita, Halosina yang cuba membesarkan anak-anaknya di Wamena, Papua New Guinea tanpa bantuan suaminya. Filem yang diarah oleh Asrida Elisabeth ini diterbitkan oleh salah seorang alumni Ikal Mayang yang terkenal iaitu Nia Dinata. Tayangan Istimewa ini hanya ekslusif bagi pemegang pas KonsFes Ikal Mayang hari Ahad - pas yang dijual kepada mereka yang telah menaja seorang belia di bawah program Sponsor A Youth.

DAPAT DISKAUN RM 3 DENGAN MYTEKSI!
MyTeksi bergandingan dengan WOMEN:girls buat pertama kalinya untuk memberikan diskaun sebanyak RM3 bagi setiap pengguna aplikasi telefon pintar mereka menggunakan kod promo IKALMAYANGSERUPA. Bukan itu sahaja, MyTeksi akan menderma RM 3 yang telah didiskaunkan itu kepada WOMEN:girls ! Ini merupakan salah satu program khidmat masyarakat MyTeksi untuk memudahkan penumpang-penumpang mereka berbakti kepada masyarakat.

FesKon kali ini mendapat sokongan yang sungguh memberangsangkan daripada pelbagai pihak terutamanya Quill City Mall, Golden Screen Cinemas (GSC), The Chicken Rice Shop, SuriaFM di samping penyokong korporat dan individu yang lain. Program Ikal Mayang juga disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

MENGENAI IKAL MAYANG
Diilhamkan daripada pepatah Melayu, ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’ dan menggunakan rujukan mahkota wanita, iaitu rambut yang ‘Ikal Mayang’, pergerakan penceritaan ini ingin mengetengahkan kepentingan sesuatu cerita untuk disampaikan dan didengari disamping meningkatkan suara wanita terutamanya di dalam media. Dengan menggunakan pendekatan yang mudah dan popular seperti filem-filem pendek – program Ikal Mayang berteraskan filem-filem pendek ini sebagai alat untuk menjana perbualan dan perbincangan mengenai isu-isu yang dialami oleh masyarakat dan mengetengahkan cerita-cerita yang unik dan boleh dikaitkan dengan setiap insan.

Pada tahun 2013 di bawah tema ‘Cerita-cerita Wanita’, Ikal Mayang menampilkan pengarah-pengarah wanita seperti Susan Lankester, Dira Abu Zahar, Nanu Baharudin, Elaine Daly, Carmen Soo, Sofia Jane, Vanidah Imran, Fauziah Nawi, Shamaine Othman, Aida Fitri Buyong, Sharifah Amani, Mislina Mustaffa, Junad M Nor, Melissa Saila dan Ida Nerina yang mengarahkan 15 filem-filem pendek (durasi 12 minit setiap satu).

Pada tahun 2014 di bawah tema ‘Terpendam’, Ikal Mayang memperkenalkan format filem pendek 2 minit dan menampilkan 2 pengarah baru daripada penyertaan awam iaitu Nora Nabila dan Elza Irdalynna serta 8 pengarah jemputan seperti Ineza Roussille, Eja, Deborah Henry, Sharyn Shufiyan, Melissa Indot, Leia Surin Aljoffery, Soefira Jaafar dan Junad M Nor. Satu antologi daripada 6 buah negara telah mengumpul pengarah-pengarah wanita terbaik dari Asia Tenggara seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba (Malaysia), Nia Dinata (Indonesia), Shireen Seno (Filipina), A. D. Chan (Singapura), Niramon Ross (Thailand) dan Siti Kamaluddin (Brunei).

MENGENAI PERTUBUHAN PEMBANGUNAN KENDIRI WANITA DAN GADIS (WOMEN:girls)
WOMEN:girls merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan program-program yang memperkasakan wanita dan gadis melalui role-modelling. WOMEN:girls ditubuhkan pada tahun 2011 sebagai satu inisiatif di bawah Persatuan Kakiseni ketika kempen WOMEN:100 dilancarkan. Kempen ini membawa 100 jam seni persembahan (merangkumi muzik, teater, bengkel dan lain-lain) bagi menyambut Hari Wanita Sedunia ke-100. Kempen INSPIRE NOW yang dijalankan pada tahun 2012 dianugerahkan Kempen Terbaik di Anugerah PR Malaysia awal 2012. Pada tahun 2013, WOMEN:girls didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah nama rasminya Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (PPM-001-10-21072013). Pada tahun 2013 juga, WOMEN:girls memperkenalkan Ikal Mayang, satu pergerakan penceritaan untuk meningkatkan jumlah suara wanita terutamanya di media; dan Power Lunch Series, satu program jaringan pemimpin-pemimpin wanita untuk membantu satu sama lain menaiki tangga korporat. Power Lunch Series yang pertama dianugerahkan sebagai salah satu acara satelit bagi Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 (Global Entrepreneurship Summit) yang dihoskan di Kuala Lumpur pada Oktober 2013. WOMEN:girls juga menganjurkan TEDxKLwomen, sidang perkongsian idea yang terulung pada tahun 2012 dan 2013, serta bakal membawanya lagi pada bulan Mei 2015.

Tujuannya mudah – memperjuangkan peluang bagi wanita menjadi role model dan contoh kepada gadis mencapai cita-cita mereka.

www.womengirls.org

No comments:

Related Posts with Thumbnails