Sukar untuk membayangkan genre muzik band ini. Jika ingin dibandingkan muzik Genghis Tron dengan muzik 'Nintendocore' dari Horse The Band, muzik mereka sebenarnya terlalu Playstation edisi ke 2. Pada awalnya mungkin mereka kerap dicop sebagai band 'cybergrind' (terma muzik dari acuan grindcore bersama elemen elektronik dan synth) sejak 2004 tapi berevolusi dengan penambahan elemen IDM, power noise, doom, industrial dan juga ambient. Penggunaan keyboard yang ketara dalam muzik ekstrim mereka juga membayangkan daerah dystopian yang diterokai mereka.
Band three-piece ini dianggotai Mookie Singerman (vokal & keyboard) , Michael Sochynsky (keyboard & drum programming) dan Hamilton Jordan (gitar & drum programming), tanpa bantuan pemain bass atau dram, sebaliknya bunyi dram mereka dibentuk dari program seperti FL Studio dan Ableton Live.Ketiga-tiga graduasi Kolej Vassar dan berasal dari Poughkeepsie, New York mengakui mereka agak 'nerd' di sebalik kebisingan muzik mereka. Tanpa melihat imej mereka (jangan lupa juga, kaca mata bingkai tebal...), anda mungkin tersalah tafsir yang Mookie ini agak gelap personalitinya dek kerana vokal 'monster'nya.
Inspirasi mereka datang dari pelbagai arah tapi yang pasti Botch, Aphex Twin dan Nine Inch Nails ialah antara yang kerap disebut. Bermula dengan sebuah demo berjudul Laser Bitch pada tahun 2004, ia membawa kepada 3 EP di bawah label bebas Crucial Blast iaitu Cloak Of Love (2005), Cape Of Hate (2006) dan Triple Black Diamond (2007).
Album penuh pertama mereka, Dead Mountain Mouth dirakam pada tahun 2006, juga di bawah label Crucial Blast bersama pemain gitar Converge, Kurt Ballou sebagai penerbit. Secara dasarnya, Dead Mountain Mouth mengambil tema 'pivotal' seperti disconnectedness, disharmony, dan non-fecundity yang dirujuk dari puisi karya TS Eliot, 'The Waste Land'. Album ini mendapat ulasan positif dari pengkritik, seterusnya mereka dilihat sebagai unit yang serius dalam berkarya. Selepas tour yang ekstensif bersama Behold... The Arctopus, Converge, Kylesa, Gaza dan The Dillinger Escape Plan, mereka memasuki studio sekali lagi bersama Kurt Ballou di Godcity Studio antara 29 Ogos hingga 21 September 2007 . Kali ini mereka sepakat untuk rakaman sebuah album bersama label Relapse Records, label dengan rilisan impresif seperti Dillinger Escape Plan, Mastodon dan Baroness.
Board Up The House, album penuh kedua mereka akhirnya dikeluarkan pada 19 Februari 2008 dengan struktur dan gaya penulisan yang dipertingkatkan dan bunyian synth yang lebih epik disamping bantuan vokal oleh Greg Puciato (The Dillinger Escape Plan) dalam trek "The Feast". Mereka kini sibuk dengan tour untuk album ini, tetapi masih punya masa untuk bowling... di pusat bowling yang memainkan album pertama Metallica sebagai muzik latar.
No comments:
Post a Comment